Friday, 22 November 2013

Boon Siew Motor SDN Bhd



KEUSAHAWANAN
1.0              Pengenalan
Negara Malaysia berhasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju setanding dengan negara-negara maju di dunia. Untuk mencapai hasrat tersebut kerajaan telah menjadikan bidang perindustrian dan perdagangan sebagai antara alternatif untuk mencapainya. Fenomena ini menyebabkan lebih ramai rakyat Malaysia meminati bidang perniagaan sebagai sumber pendapatan. Perubahan citarasa masyarakat dan strategi kerajaan dalam membangun  Malaysia membuka pelbagai bentuk peluang perniagaan untuk rakyat negara ini.
2.0       Boon Siew Sendirian Berhad.
Salah satu organisasi yang menceburi dan berjaya dalam bidang keusahawanan ialah Boon Siew Sdn Bhd yang sinonim dengan motosikal jenama Honda. Organisasi ini diasaskan oleh Tan Sri Loh Boon Siew  seorang anak dagang dari negara China. Mula bekerja sebagai mekanik dan melakukan kerja sambilan  mencuci bas. Beliau hanya pandai bertutur  bahasa hok-kien sahaja, tidak pandai membaca dan  menulis  tetapi memiliki daya  ingatan yang  kuat.
Tan Sri Dato’ Loh Boon Siew menyedari kelebihan motosikal Honda yang ringan dan bersaiz kecil menjadi alternatif kepada pengguna motosikal Malaysia berbanding motosikal yang dikeluarkan daripada  Eropah yang bersaiz besar dan berat.  Kejayaan didukung melalui pakatan Boon Siew – Honda yang menguasai sejumlah besar pasaran motosikal di Malaysia dan  rantau  ini seperti Filipina, Brunei dan Singapura.
            Tahun 1957  Malaysia mencapai kemerdekaan dan pada masa itulah Loh menubuhkan Boon Siew Ltd dan pada tahun 1958 Loh Boon Siew menjadikan Soichiro Honda iaitu pengasas Motosikal Honda Co. Ltd. di Jepun sebagai pengedarnya. Pada tahun yang sama 15 buah motosikal pertama (Honda Dream dan Honda Benly) dibawa masuk ke Malaysia dan dijual. Semenjak itu ikatan persahabatan terjalin dan terus berkembang, Soichiro - Loh menjadikan Honda terkenal di Malaysia melalui nama 'Boon Siew - Honda'.  Pertalian persahabatan yang kuat antara dua buah syarikat yang besar - Boon Siew Sdn. Bhd. dan Motosikal Honda Co. Ltd. dari Jepun telah menjadi penggerak kepada industri motosikal dan sekaligus membantu mengembangkan ekonomi Malaysia.

Pembukaan kilang pemasangan motosikal tempatan Boon Siew-Honda di Mak Mandin melalui Kah Motor Co. Sdn. Bhd. pada tahun 1968  dan memulakan pengeluaran pada tahun 1969 telah dapat mengurang duti cukai impot namun dalam tempoh 40 tahun organisasi ini merupakan pembayar cukai terbesar negara sekaligus menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi Malaysia melalui pengeksportan motosikal ke luar negara. Sehingga kini sejumlah 20,300 unit Honda C70 dieksport  ke Filipina tidak termasuk negara lain.
Bukan sekadar itu, Boon Siew-Honda  juga mengeluarkan motosikal empat lejang yang 'mesra alam', melancarkan motosikal Honda EX5 Kelas 1 yang mempunyai kepatuhan pengeluaran asap yang ketat berdasarkan Standard 2 Taiwan. Tahun 2011  model baharu Honda Wave Dash 110RSR berharga RM5,268.00 dan Honda Wave Dash 110RS berharga RM4,998.00 diperkenalkan. Menurut perangkaan, sehingga Mac 2013, sejumlah dua juta motosikal Honda dipasang melalui 29 model  berbeza termasuklah model Honda C50, C65 dan S90 dengan menggunakan 95 peratus komponen tempatan untuk pasaran tempatan dan luar Negara. Boon Siew Honda Sdn Bhd menjangkakan jualan motosikalnya meningkat 262,700 unit pada tahun 2012 berbanding 234,500 unit tahun sebelumnya . Oleh itu, Boon Siew Honda Sdn Bhd dijangka akan memperbanyakkan lagi jumlah cawangan dengan tambahan 20 cawangan lagi berbanding  sebanyak 298 cawangan di seluruh negara pada tahun 2012.

3.0              Elemen-elemen persekitaran makro yang mempengaruhi organisasi perniagaan.
Sesebuah organisasi perniagaan  tidak dapat berdikari melainkan adanya elemen-elemen persekitaran yang berinteraksi dan mempengaruhi penetapan keputusan dan tingkah laku. Oleh itu, peniaga perlu mengenali, menganalisa dan memahami keadaan persekitaran perniagaan terlebih dahulu. Oleh itu, untuk menjadi usahawan yang berjaya bukanlah suatu perkara yang mudah kerana terdapat faktor-faktor  persekitaran makro yang boleh menjejaskan perjalanan usahawan. Antara faktor-faktor yang perlu dinilai,dianalisa,dan difahami  adalah:-
3.1       Faktor Persekitaran Politik Dan Perundangan
Dunia perniagaan biasanya dipengaruhi oleh persekitaran politik dan perundangan. Bukan sahaja berlaku dalam politik negara dimana organisasi beroperasi malahan dipengaruhi oleh persekitaran politik secara  global. Kestabilan sistem politik sesebuah negara merupakan faktor asas yang mempengaruhi strategi perniagaan. Justeru itu, usahawan hendaklah peka dan memahami bahawa kestabilan negara sentiasa berubah kerana sistem politik dan perundangan sesebuah negara biasanya berbeza.  Maka itu, setiap organisasi hendaklah sentiasa merangka pelan tindakan dengan mengambil kira potensi serta risiko yang terpaksa ditempuhi pada masa hadapan.

Selain itu, perniagaan juga sering berhadapan dengan risiko politik yang memberikan kesan terhadap aktiviti perniagaan. Antara risiko yang sering berlakukan ialah kerajaan memiliknegarakan semua organisasi subsidiari asing yang berada di negaranya tanpa membuat sebarang bayaran pampasan, mengenakan cukai korporat yang tinggi ke atas organisasi malah terdapat juga sesetengah kerajaan yang meletakkan syarat di mana sebahagian besar dari keuntungan organisasi asing yang beroperasi  dikehendaki melaburkan semula keuntungan di negaranya dengan  mengenakan cukai yang tinggi keatas keuntungan organisasi.

Halangan perdagangan terhadap setiap barangan import yang memasuki negara sering   dikenakan kepada organisasi perniagaan. Ini merupakan strategi kerajaan memastikan bahawa produk yang masuk tidak memberi kesan ke atas pasaran barangan sedia ada. Halangan perdagangan dibuat melalui pelbagai bentuk dan cara. Selain itu, terdapat juga negara yang mengenakan kuota pada produk import dengan membataskan kuantiti produk dari memasuki negara. Malah, terdapat halangan perdagangan seperti sekatan eksport, Embargo, tarif eksport iaitu cukai terhadap barang yang dieksport, tarif transit iaitu cukai yang dikenakan terhadap barangan yang singgah di sesebuah negara, menjadi faktor penghalang kepada  organisasi  memperluaskan  perniagaan mereka.

Selain itu, terdapat  pelbagai organisasi perdagangan antarabangsa yang diwujudkan bagi memupuk dan menggalakkan perdagangan dunia. Diantaranya ialah AFTA (Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN) . Menurut Aini Hayati, M. et al. (2008) penubuhan AFTA adalah untuk mempercepat pengurangan kadar tarif ke atas barangan industri melaui Tarif Keutamaan Berkesan Bersama dan usaha untuk menarik pelabur menanam modal dengan memberi pelbagai insentif seperti melonggarkan cukai untuk melabur.

Selain itu, isu nasional yang mencakupi dasar-dasar dan polisi kerajaan, undang-undang, peraturan, kawalan, percukaian dan sebagainya turut mempengaruhi kegiatan perniagaan dalam sesebuah negara. Isu Nasional merangkumi dasar dan polisi negara yang dikenakan oleh kerajaan kepada organisasi yang menjalankan aktiviti.  Justeru itu, organisasi perlulah memahami dasar-dasar baru serta polisi yang ditetapkan oleh kerajaan seperti Model Ekonomi Baru (MEB), Program Transformasi Kerajaan (GTP), Dasar Luar Negara, Dasar Industri, Dasar Pengguna Negara, Dasar kewangan dan sebagainya agar aktiviti yang dijalankan tidak bertentangan dengan dasar dan polisi tersebut.

Organisasi perniagaan yang menjalankan aktiviti terpaksa mematuhi undang-undang  serta peraturan yang diperuntukkan oleh kerajaan contohnya dalam mereka bentuk produk dan perletakkan harga, penetapan harga barangan kawalan, pengiklanan, upah dan persekitaran tempat kerja serta rangka undang-undang yang diwujudkan. Sesuatu perniagaan biasanya dikawal oleh undang-undang perniagaan yang sedia ada antaranya Undang-undang Kontrak, Undang-undang Jualan Barang-barang, Undang-undang Sewa Beli, Undang-undang Perkongsian, Undang-undang Organisasi dan Undang-undang Perhubungan Majikan & Pekerja untuk memastikan dan memelihara kebajikan perniagaan disamping menjaga kepentingan negara.

Setiap aktiviti perniagaan akan berhadapan dengan cukai  yang dikenakan oleh kerajaan sebagai bayaran kerana memperolehi keuntungan dengan menggunakan perkhidmatan dan kemudahan negara. Bagi usahawan,  cukai-cukai yang dikenakan oleh kerajaan akan mengurangkan keuntungan sebaliknya merupakan satu sumber pendapatan kepada negara. Percukaian boleh dikategorikan  kepada tiga bahagian iaitu cukai langsung, cukai tidak langsung dan cukai khas. Cukai langsung dikenakan keatas pendapatan organisasi, pendapatan perseorangan, duti setem, pendapatan petroleum dan sebagainya. Cukai tidak langsung dikenakan keatas jualan, perkhidmatan, duti import, duti eksport, duti eksais dan sebagainya.  Manakala cukai khas dikenakan ke atas cukai tanah, jalan dan sebagainya. Sebagai contoh,cukai eksais terhadap motosikal yang berkapasiti  di bawah 150 cc  ialah 20% dan motosikal berkapasiti melebihi 150cc  ialah  30%.

3.2       Faktor Persekitaran Ekonomi
Sebagaimana isu perundangan, tarif dan cukai. Eknomi negara merupakan elemen yang perlu diketahui oleh usahawan yang menjalankan perniagaan. Usahawan perlu peka dan prihatin terhadap perubahan ekonomi sama ada keadaan ekonomi tempatan ataupun ekonomi antarabangsa. Ini kerana faktor tersebut mempengaruhi operasi, prestasi, perancangan dan pendapatan  organisasi. Terdapat tiga  faktor utama yang memberi kesan kepada persekitaran ekonomi iaitu keadaan ekonomi, dasar ekonomi dan sistem ekonomi.

a)         Keadaan Ekonomi
Keadaan ekonomi negara memberi impak  besar dalam sesebuah organisasi. Keadaan ekonomi merangkumi faktor keluaran dalam negara kasar (KDNK), pendapatan perkapita, pasaran untuk barangan dan perkhidmatan, modal, rizab tukaran asing dan lain-lain. Faktor-faktor ini dapat membantu dalam meningkatkan kadar pertumbuhan ekonomi dalam sesebuah negara jika diurus dengan baik..           

b)         Dasar-Dasar Ekonomi
Dasar-dasar ekonomi kerajaan  amat penting untuk diketahui oleh para usahawan kerana dasar-dasar ini dapat mempengaruhi kesemua aktiviti organisasi yang ditawarkan dari semasa kesemasa. Diantara dasar-dasar ekonomi yang diperkenalkan oleh kerajaan adalah Dasar Fiskal, Dasar Kewangan dan Dasar Pelaburan Luar.

c)         Sistem Ekonomi
Sistem ekonomi juga turut berperanan dalam aktiviti perniagaan. Terdapat tiga  jenis sistem ekonomi iaitu Sistem Ekonomi Pasaran Bebas (berlaku di negara yang mengamalkan kapitalisme), Sistem Ekonomi Perancangan Pusat yang juga dikenali sebagai Sistem Ekonomi Terancang (berlaku di negara yang mengamalkan sosialis) dan Sistem Ekonomi Campuran (kebanyakkan negara di dunia mengamalkan sistem ini).




3.3       Faktor Persekitaran Sosial dan Budaya
Dalam dunia perniagaan, usahawan tidak dapat lari daripada membuat penilaian terhadap persekitaran sosial dan budaya, tidak kira samada organisasi beroperasi di dalam negara atau  luar negara. Jika organisasi beroperasi sebagai organisasi multinasional maka lebih banyak cabaran sosial dan budaya terpaksa difahami dan ditempuhi kerana perbezaan budaya. nilai, norma dan gaya hidup. Persekitaran budaya ini dipengaruhi oleh nilai-nilai asas, persepsi, kegemaran dan gelagat pengguna.

Selain itu, kepercayaan dan nilai asas yang dipegang oleh seseorang individu banyak dipengaruhi oleh masyarakat di mana ia dibesarkan. Perbezaan amalan sosial dan budaya masyarakat adalah berbeza bagi setiap negara. Pengaruh serta kesan persekitaran sosial dan budaya  dapat dilihat dari dua  aspek  iaitu:-

a)         Aspek Demografi
Aspek demografi merangkumi ciri-ciri kependudukan seperti umur, jantina, bilangan penduduk, kaum, taburan pendapatan, bandar atau luar bandar. Perubahan ini  membawa kepada perubahan pada permintaan, kuasa beli, sasaran, saiz pasaran dan sebagainya. Oleh itu, sebarang keputusan dalam menjalankan perniagaan hendaklah mengambil kira perubahan-perubahan ini.

b)         Aspek Budaya
Aspek budaya pula merangkumi cara hidup dan nilai sosial masyarakat, kepercayaan, bahasa yang digunakan, gaya hidup keluarga, perubahan citarasa pengguna dan lain-lain lagi. Elemen-elemen ini akan mengubah pola permintaan dan mempengaruhi keputusan yang akan dibuat oleh organisasi atau usahawan.

3.4       Faktor Persekitaran Teknologi
Menurut Aini Hayati, M. et al. (2008) ”Teknologi merujuk kepada ciptaan baru yang dihasilkan oleh penyelidikan. Inovasi berlaku apabila sesuatu produk yang lebih baik ditemui daripada penyelidikan yang dilakukan...”. Kemajuan teknologi sesebuah negara adalah berbeza diantara satu negara dengan negara lain. Perkembangan teknologi terutamanya teknologi maklumat yang pantas membangun  memberi kesan secara langsung kepada organisasi perniagaan.

4.0        Kesan  dan  strategi  Boon Siew Sdn. Bhd.  menghadapi faktor persekitaran makro. 
Sesungguhnya faktor persekitaran makro “PEST” banyak memberi kesan terhadap aktiviti pernigaan Boon Siew Sdn Bhd, namun organisasi ini mempunyai cara dan strategi tertentu untuk menangani perkara tersebut.
4.1       Politik dan Perundangan.
 Faktor ini amat penting dan harus diberi perhatian oleh  usahawan kerana sistem politik yang stabil  dapat menjamin kestabilan ekonomi negara. Kuasa politik  sering mengenakan kadar cukai import yang tinggi terhadap kemasukan barangan seperti komponen dan alat ganti  dari negara luar. Tindakan kerajaan ini akan memberi tekanan kepada industri Motosikal Honda sebagai pengimport barangan. Namun pada masa yang sama, ia memberi kebaikan dan sokongan kepada peniaga tempatan.
            Justeru itu, kestabilan politik di Malaysia telah berjaya membantu Boon Siew Sdn Bhd  untuk berjaya. Ini kerana  ekonomi Malaysia pada masa itu sedang giat dirancang oleh kerajaan kerana negara baru sahaja merdeka. Kejayaan Tan Sri Loh Boon Siew selaku usahawan untuk mendapatkan lesen sebagai pengedar tunggal Honda di Malaysia mendapat sokongan kuat dari kerajaan dan langkah ini dapat meningkatkan  ekonomi negara pada masa itu.
Selain itu, dengan terbinanya kilang motosikal yang terletak di Mak Mandin, maka jualan dan permintaan terhadap motorsikal dapat dipenuhi secara konsisten. Ini kerana walaupun berlaku masalah di Negara Jepun, motosikal Honda masih dapat dikeluar dan dijual kerana ia dibuat di Malaysia. Disamping itu, langkah tersebut dapat mengurangkan kos jualan akibat cukai import yang dikenakan .
Meninjau perkembangan terkini telah lebih dua juta motosikal Honda berada di atas jalan raya. Selain, sejumlah 20,300 unit Honda C70 dieksport ke Filipina tidak termasuk negara-negara lain. Fenomena ini telah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan pemangkin kepada kemajuan industri Motosikal Honda. Justeru kemantapan perniagaan Boon Siew Honda tidak akan terjejas walaupun politik sama ada diperingkat dunia mahupun peringkat nasional.
4.2       Faktor Ekonomi.
Usahawan yang berjaya harus dapat meramalkan pertumbuhan ekonomi sesebuah negara itu. Ini kerana pertumbuhan ekonomi yang stabil dapat memacu kepada pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan seterusnya dapat membantu usahawan untuk berjaya. Atas faktor inilah Tan Sri loh Boon Siew walau dengan hanya 15 buah motorsikal yang dibawa masuk ke Malaysia, namun  dengan keadaan ekonomi yang sedang mantap selepas merdeka telah menyebabkan permintaan yang tinggi terhadap motosikal berbanding  kereta.
4.3       Faktor Sosio Budaya.
Faktor sosio-budaya ini terbahagi kepada dua iaitu perubahan demografi dan juga keadaan sosial masyarakat setempat. Kedua-dua faktor ini jika dapat diramal dengan sempurna akan dapat membantu usahawan untuk mengenalpasti potensi dan peluang perniagaan. Perubahan demografi berlaku atas sebab perubahan bilangan penduduk, kumpulan etnik dan struktur bilangan penduduk menurut umur, jantina, lokasi geografi dan bilangan penduduk. Kesemua unsur ini menjadi faktor penyumbang kepada kehendak pengguna, kuasa beli dan kapasiti industri.
Faktor sosio-budaya dapat membantu  kejayaan industri Motosikal Honda. Sebagai bukti selepas negara merdeka pada tahun 1957, gaya hidup rakyat berubah dengan hanya berbasikal  ke tempat kerja kepada bermotosikal. Melihat keadaan ini Tan Sri Loh Boon Siew sedar bahawa motosikal yang diperkenalkan oleh penjajah seperti model Norton kurang sesuai kerana besar dan berat berbanding saiz rakyat Malaysia yang berbadan sederhana. Justeru itu, beliau memperkenalkan model motosikal yang bersaiz  kecil dan ringan iaitu motorsikal  jenama Honda ‘cub’. Berdasarkan alasan tersebut menyebabkan motorsikal Honda menjadi kenderaan pilihan utama dan mewarnai landskap kenderaan bermotor di jalan-jalan raya di Malaysia  dari kampung sehinggalah ke bandar besar, daripada budak belasan tahun hingga kepada yang tua bongkok tiga.
Selain itu, Loh selaku peneraju Boon Siew Sdn Bhd amat menitik beratkan keperluan  dan membantu sesiapa yang memerlukan bantuan , semasa hidup banyak membantu orang dengan  menderma wang dan tanah. Keprihatinan beliau diteruskan oleh syarikatnya dengan menyumbang RM100,000 untuk Tabung Kemanusiaan semasa wabak  JE. Selain itu, untuk membantu kerajaan menangani pencemaran Boon Siew-Honda mengeluarkan model  Honda EX5 Kelas 1 yang mematuhi pengeluaran asap yang ketat berdasarkan Standard 2 Taiwan  yang 'mesra alam' disamping memastikan sisa perkilangan dihantar ke pusat rawatan sisa kerajaan di Bukit Nenas. Hal ini memperlihatkan tanggungjawab sosial organisasi terhadap alam sekitar.
4.4       Faktor Teknologi dan Persaingan.
Perkembangan teknologi yang pesat memberi kesan secara langsung kepada industri Motosikal Honda terutamanya dalam membantu pengurusan operasi termasuk pemasaran dan ini dapat mengurangkan kos pengeluaran. Contohnya, kerja-kerja pengurusan pejabat seperti merekod, menyediakan Penyata Kewangan dikendali dan dipermudahkan dengan penggunaan sistem komputer.  Selain itu, dari segi inovasi motosikal Honda dapat kita lihat daripada perubahan  model motosikal Honda sama ada motosikal berkuasa rendah hinggalah ke motosikal Honda berkuasa tinggi.
Dengan penggunaan teknologi Boon Siew-Honda dapat menyaingi pengeluar motosikal lain dan menyebabkan organisasi ini berkembang maju. Pada peringkat awal persaingan adalah amat rendah kerana pada masa itu belum ramai individu yang menceburi bidang keusahawanan khususnya dalam bidang permotoran. Oleh itu, dengan sedikit strategi pemasaran, iaitu menjalinkan persahabatan dengan Soichiro telah menjadikan Honda terkenal dan memonopoli  industri penjualan motosikal di Malaysia melalui nama 'Boon Siew - Honda'.  Pertalian persahabatan menjadikan  satu hubungan yang kuat antara dua buah syarikat yang besar - Boon Siew Sdn. Bhd. dan Motosikal Honda Co. Ltd. dari Jepun.  
Pelanggan dan pengguna adalah penentu kejayaan sesuatu organisasi perniagaan, kegagalan menyediakan produk yang dapat memenuhi kehendak pengguna mengakibatkan  organisasi   gagal dalam persaingan. Justeru itu, Boon Siew Sdn Bhd berusaha untuk menghasilkan motosikal –Honda berkualiti dan memenuhi  citarasa pengguna melalui pelbagai inovasi. Situasi ini telah membolehkan motosikal Honda berjaya menambat hati majoriti masyarakat di Malaysia. Contohnya dari tahun 2004 hingga 2011 Honda telah mengeluarkan 30 variasi motosikal Honda. Salahsatu model motosikal Honda yang popular ialah  motosikal Honda Cub dimana harga pasarannya lebih murah berbanding jenama motosikal lain, mudah ditunggang oleh pelbagai lapisan pengguna kerana dikuasai oleh automatic centrifugal clutch, Fuel consumption yang sangat rendah, namun berupaya membawa beban berat dan banyak, mudah digunakan semasa kesesakan lalulintas, maintenance dan spare part murah dan penggunaan enjin 4-stroke yang membolehkan Honda Cub melepasi piawaian.
Secara kesimpulannya kejayaan besar motosikal Honda cub adalah harga yang sangat murah berbanding motosikal lain,mudah ditunggang kerana ada klac emparan automatic,jimat minyak sehingga 40km bagi setiap liter,berupaya membawa muatan berat, kos penyelenggaraan dan alat ganti murah, penggunaan enjin 4 lejang dan tahan panas walaupun perjalanan jauh.
5.0  Cadangan-cadangan untuk  Boon Siew Sdn Bhd Menghadapi “PEST”.
Boon Siew Sdn Bhd adalah salah satu organisasi perniagaan yang berjaya dalam perusahaan motosikal Honda sejak Malaysia merdeka. Boon Siew Sdn Bhd telah berjaya menyesuaikan dan menangani pengaruh “PEST”  di negara ini iaitu sejak Malaysia merdeka dan kini genap usia  penubuhannya yang ke 56 tahun bergelumang dengan bidang perusahaan motosikal. Sepanjang tempoh tersebut, Boon Siew Sdn Bhd telah mengalami banyak  tekanan sama ada dalam bidang politik, masalah kemelesetan ekonomi negara, perubahan citarasa masyarakat dan peningkatan penggunaan teknologi dalam industri perusahaan motosikal, namun Boon Siew – Honda tetap berjaya menempatkan organisasinya dengan cara tidak berkompromi dengan polisi dan dasar kerajaan sebaliknya menjadi penyumbang kepada kestabilan ekonomi negara. Maka itu, saya berpendapat bahawa tidak ada sebarang cadangan yang perlu disarankan untuk Boon Siew Sdn Bhd. untuk berhadapan dengan pengaruh “PEST”  di Malaysia malah segala usaha, komitmen, kebijaksanaan dan tindakan yang telah dilakukan oleh Tan Sri Loh Boon Siew selaku pengasas dan pengusaha Boon Siew Sdn Bhd wajar menjadi contoh dan teladan dalam sikap dan semangat keusahawanan yang ada pada beliau agar para usahawan sama ada kepada usahawan yang sedang menjalankan usahawan mahupun kepada bakal-bakal usahawan yang baharu hendak menjalankan perniagaan.

6.0       Kesimpulan
Peranan keusahawanan dalam pembangunan politik, ekonomi,sosial dan teknologi bukan hanya meningkatkan kadar per kapita pengeluaran dan pendapatan negara tetapi  melibatkan perubahan struktur perniagaan dan masyarakat. Perubahan disertai oleh pertumbuhan dan peningkatan pengeluaran. Perkembangan ekonomi dari segi produk dan perkhidmatan baharu dalam pasaran mendorong  pelabur untuk melabur dan menyebabkan ekonomi berkembang, pekerjaan baru tercipta dan mengurangkan kadar pengangguran.
Keusahawanan melalui proses kreativiti dan innovasi mencipta produk baru dan memberikan perkhidmatan untuk memenuhi kehendak, citarasa dan keperluan  rakyat. Untuk menghasilkan produk dan perkhidmatan yang baik, organisasi akan mencari kaedah yang lebih baik bagi memaksimakan sumber dan mengurangkan pembaziran. Dengan ini, masyarakat akan mendapat produk dan perkhidmatan yang lebih baik pada harga yang lebih murah.
Menjadi  usahawan berjaya harus bijak meramal produk yang sesuai untuk dipasarkan. Produk perlulah bersesuaian dengan faktor sosio-budaya masyarakat setempat. Idea mendapatkan produk yang sesuai untuk dipasarkan, bukanlah dijana melalui proses yang sukar, sebaliknya melalui idea yang timbul secara spontan. Contohnya idea spontan berlaku kepada Loh Boon Siew semasa di Osaka Jepun apabila melihat motosikal Honda telah menjadikan beliau seorang usahawan  berjaya. Dengan konsep “Not to reinvent the wheel” telah memudahkan beliau menjadi usahawan berjaya.

No comments:

Post a Comment